chat box

selamat datang ke laman web kami

Tuesday, July 16, 2013

sejarah dan perkembangan silat gayong


Silat Seni Gayong Malaysia telah diasaskan oleh Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd Hashim. Silat Gayong ini telah diperkenalkan buat pertama kalinya di Taiping, Perak. Beliau menzahirkan ilmu pusaka dan amanah yang diterima dari Allahyarham Dato’ Laksamana Hang Tuah di kalangan rakan terdekat. Antara rakan rapat beliau ialah Wan Noh bin Haji Ismail, Wan Man bin Haji Ismail, Bakar dan Aziz Khan.

Sejarah dan perkembangan

Silat Seni Gayong telah mula dikembangkan di luar Perak di Pulau Sudong, Singapura. Pada 17 haribulan Februari 1942 jam 2.00 petang, seramai 7 orang pemuda Pulau Sudong diperlimau sebagai murid Gayong. Mereka ialah Naning bin Mat, Ahmad Arshad bin Haji Hassan, Sabtu bin Likur, Yusof bin Rantau, Osman bin Timpong, Mustapha bin Bengkok dan Bendol bin Benggol. Bermula dengan hanya seramai 7 orang murid, Silat Seni Gayong telah terus berkembang sehingga ia merebak ke pulau – pulau berhampiran seperti Pulau Seking, Pulau Bukum, Pulau Sebaruk, Pulau Sekijang, Pulau Sembilan, Pulau Semakom dan Pulau Damar.
Silat Seni Gayong mula berkembang di pulau besar Singapura pada akhir tahun 1949. 7 orang murid pertama yang menjalani upacara Perlimau Tapak ialah Ahmad Sudi, Mansor Fadal, Ustaz Mansor, Sinwan, Joned Hanim, Hosni Ahmad dan Salim. Sinwan, Joned Hanim dan Salim merupakan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Singapura yang terawal menjadi murid Gayong. Pusat Latihan Silat Seni Gayong dalam tahun 1950 – an di pulau besar Singapura ialah di Bakar Sampah. Dalam tahun 1954, kumpulan pertama wanita seramai 7 orang telah memasuki Gayong di Singapura. Mereka ialah Che Kalsom bte. Haji Kechik, Paridah bte. Yusope, Asmah ( isteri Joned Hanim ), Aisyah ( isteri Mansor Fadal ), Rafeah Fadal, Hendon dan Intan.
Pada pertengahan tahun 1950 – an, ramai bintang filem Melayu mempelajari Silat Seni Gayong. Antaranya ialah Jasni Ahmad, Naeng Yatimah, Kasma Booty, P. Ramlee dan A. Rahim. Kemuncaknya dalam tahun 1956, Dato’ Onn b. Jaafar, seorang tokoh politik dan pemimpin Melayu yang disegani telah menjadi murid Gayong. Beliau telah dilantik sebagai Penasihat Agung dan Waris Beradat Silat Seni Gayong.
Pada awal tahun 1957, satu rombongan Silat Seni Gayong dari Singapura yang dipimpin sendiri oleh Meor Abdul Rahman telah mengadakan persembahan di Kelab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah atas undangan Y.A.M. Tengku Laksamana Kedah, Tengku Kassim Ibni Sultan Badlishah. Pertunjukkan tersebut telah disaksi oleh DYMM Sultan Badlishah Ibni al – Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Syah, Sultan Kedah Darul Aman. Ini merupakan cubaan pertama untuk mengembangkan sayap Silat Seni Gayong di Kedah.
Sebuah akademi silat bernama Sekolah Gayong Woodlands atau Institute of Gayong Woodlands telah ditubuhkan oleh Meor Abdul Rahman dalam tahun 1959. Akademi ini mengeluarkan Sijil Diploma bagi mereka yang lulus dalam kursus – kursus yang ditawarkan. Antara tenaga yang pengajar yang membantu Meor Abdul Rahman ialah Siti Noor Aisyah bte. Meor Abdul Rahman, Nordin bin Abdul Rahman, Sidek, Abdul Majid bin Omar, Atan dan Abdul Rahman bin Kadir. Akademi ini telah berjaya melahirkan beberapa orang gurulatih semenanjung yang terkenal seperti Abdul Majid Mat Isa, Ramli Ibrahim, Ramli Mat Arof, Siti Kalsom Meor Abdul Rahman, Khamsiah M. Ali, Awang Daud dan Ahmad Lazim.
Silat Seni Gayong mula tersebar luas di Semenanjung Tanah Melayu apabila pada bulan Mac 1963, Meor Abdul Rahman telah membawa keluar bersama – samanya 8 orang gurulatih dari Kedah menjelajah ke negeri – negeri di Pantai Barat, Timur dan Selatan. Mereka terdiri daripada Abdul Majid Mat Isa, Ramli Mat Arof, Awang Daud, Ismail Chik, Ibrahim Abdullah, Mohd Khir Saad, Mohd Desa Din dan Ahmad Lazim. Kumpulan ini dipecah kepada beberapa buah negeri dan digilirkan atas arahan Meor Abdul Rahman sendiri.
Pendaftaran Silat Seni Gayong sebagai sebuah pertubuhan berdaftar telah diluluskan pada 22 hb Oktober 1963. Permohonan tersebut telah dibuat dalam tahun 1962 atas nasihat Dato’ Onn bin Jaafar. Alamat awal pertubuhan ini ialah di rumah seorang murid Gayong bernama Ibrahim di Jalan Yahya Awal, Johor Bahru, Johor. Apabila ibu pejabat pertubuhan berpindah ke Kota Sarang Semut, Kedah dalam tahun 1964, maka Kota Sarang Semut telah menggantikan Woodlands sebagai Pusat Latihan Tertinggi.
Perdana Gayong pertama telah berjaya dianjurkan di Stadium Darul Aman, Kedah dalam tahun 1964. Dalam tahun 1964 di Air Kuning, Taiping, Perak, sistem tingkatan bengkong dan pelajaran Silat Seni Gayong secara lebih sistematik telah disusun oleh beliau. Dengan bantuan gurulatih kanan, Ahmad bin Lazim dan para dermawan, beliau mula membangunkan Air Kuning sebagai pusat latihan baru dan membina sebuah balai adat. Pada 27 hb Januari 1971, Pusat Latihan Tertinggi Silat Seni Gayong Malaysia Dan Serantau telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Idris Syah Ibni al – Marhum Sultan Alang Iskandar di Air Kuning.


Lambang Gayong

Lambang Gayong diilhamkan oleh Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman dan telah dilukis oleh Pendita Za'ba di Singapura. Lambang Gayong asal terdiri daripada seekor naga sahaja. Pada lambang Gayong terdapat perkara-perkara berikut:
  • Naga - Melambangkan kekuatan di laut mahupun di darat. Ilmu Silat Seni Gayong ini sesuai dalam apa juga situasi.
  • Harimau - Sikap pesilat yang bertenaga, bersikap garang tetapi penyayang, sikap berani dan berhemah seperti kata pepatah 'Harimau menyembunyikan kuku'.
  • Bulan dan Bintang - Pegangan asas pengajaran adalah kepada agama Islam.
  • Dua keris bersilang - Melambangkan semangat Tuah dan Jebat yang perlu dimiliki oleh setiap murid Gayong.
  • Pedang mata dua - Pedang Zulfakar milik Saidina Ali a.s. melambangkan keberanian dan kepahlawanan panglima Islam yang telah menegakkan kebenaran.
  • Kendi / Bejana air - Melambangkan Silat Seni Gayong tempat terkumpul segala ilmu dan teknik beladiri tradisional orang Melayu yang perlu ditimba oleh setiap lapisan masyarakat.
  • Bumi- Cita-cita untuk mengembangkan silat di seluruh dunia.
  • Bengkung Harimau Pelangi Cula Sakti 7- Kuasa Mahaguru sebagai eksekutif pentadbiran dan ilmu tertinggi.

Pelajaran Gayong

Setiap ahli gayong akan diserapkan dengan ilmu persilatan dengan beberapa tahap bermula dari asas hingga ke peringkat yang tertinggi.Berikut adalah senarai pelajaran bagi setiap anak gayong :
  • Asas Gerakan
  • Asas Elakkan
  • Buah Tapak Kunci Mati
  • Buah Tapak Kunci Hidup(pentas)
  • Serangan Harimau (Combat)
  • Harimau Mengambur (Lompatan)
  • Seni Pisau
  • Seni Keris
  • Seni Simbat Suk
  • Seni Parang
  • Seni Tongkat Panjang
  • Seni Lembing
  • Seni Yoi
  • Seni Seligi
  • Seni Cindai
  • Seni Sundang Lipas
  • Seni Belian

Peringkat

Tahap pencapaian pelatih Gayong diperlihatkan daripada bengkung yang diperoleh. Setiap bengkung yang diperoleh merupakan petunjuk kepada pencapaian jenis-jenis kemahiran.
  • Judo black belt.PNG Hitam (Kosong)
  • Judo white belt.PNG Awan Putih
  • Judo green belt.PNG Pelangi Hijau
  • Judo red belt.PNG Pelangi Merah
  • Pelangi Merah Tinggi (Cula 1-3)
  • Judo yellow belt.PNG Pelangi Kuning
  • Pelangi Kuning Tinggi (Cula 1-5)
  • Harimau Pelangi Cula Sakti (Cula 1-6)
  • Harimau Pelangi Cula Sakti 7 adalah hak Dato' Meor Abdul Rahman sahaja


seni Silat Melayu

sswbkecil.jpg


Seni Silat Melayu

Seni silat adalah sejenis ilmu bela diri yang diakui umum sebagai hak asli kepunyaan bangsa Melayu. Berdasarkan bukti penemuan tinggalan sejarah yang terdapat di Candi Borobodur dan Candi Prambanan di Jawa, dapatlah disimpulkan bahawa sudah wujud sistem bela diri di kawasan kepulauan Melayu pada abad ke-8 Masihi. Bermula dari kepulauan Riau, sistem bela diri ini dikatakan merebak ke Minangkabau, Sumatera. Di Sumatera, sistem bela diri ini diperhalusi lagi dan dikenal sebagai Pencak Silat. Ilmu silat ini pernah digunakan oleh kerajaan Srivijaya(abad ke-7 hingga abad ke-14) untuk memperluaskan empayarnya. Pada zaman kekuasaan Majapahit(abad ke-13 hingga abad ke-16), ilmu silat dikatakan telah mencapai kemuncak kesempurnaannya apabila penggunaan senjata disertakan.
Dari Minangkabau, silat diperkenalkan di Semenanjung Tanah Melayu melalui Melaka. Dalam zaman Kesultanan Melayu Melaka, hanya golongan yang rapat dengan istana sahaja diberikan peluang untuk mempelajari silat. Seni silat ini akhirnya sampai ke pengetahuan rakyat jelata dan seterusnya menjadi suatu kesenian desa. Laksamana HangTuah(Bapa Persilatan Melayu) dikatakan mempelajari seni silat daripada Sang Adi Putera di Gunung Ledang dan Sang Persanta Nala di Pulau Jawa(Majapahit).
Silat Seni Gayong dikatakan telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, iaitu sewaktu pemerintahan Sultan Mansor Syah. Selepas kejatuhan Melaka ke tangan Feringgi(Portugis) pada tahun 1511, hulubalang-hulubalang Melaka yang diketuai oleh Tun Biajid(anak Laksamana Hang Tuah) telah berundur ke dalam hutan dan seterusnya melakukan serangan gerila terhadap angkatan Portugis. Ilmu Silat Seni Gayong inilah yang telah digunakan oleh Tun Biajid dan orang-orangnya ketika menentang Portugis. Walaupun terpaksa berundur ke dalam hutan, hulubalang-hulubalang Melaka ini masih mampu menyusun suatu barisan penggempur (boleh disamakan dengan gerakan gerila) yang berpegang kepada tekad iaitu berimau-rimau, berimba-rimba dan bergayong.
Disebabkan kedudukan Portugis terlalu kuat ketika itu, Tun Biajid dan orang-orangnya terpaksa berundur hinggalah ke negeri Pahang, untuk mencari perlindungan. Di Pahang, ilmu Silat Seni Gayong ini terus hidup diwarisi oleh generasi demi generasi sehinggalah sampai ke tangan Tuan Syed Zainal Al-Attas, iaitu seorang hulubalang Pahang yang hidup sezaman dengan Dato' Bahaman dan Mat Kilau.
Ada suatu kisah yang menceritakan bahawa pada zaman pemerintahan Portugis di Melaka, telah diadakan majlis keramaian tiap-tiap tahun yang dihadiri oleh segenap lapisan masyarakat. Pemerintah Portugis telah mengadakan suatu pertandingan seni persembahan budaya masyarakat setempat dan memberikan ganjaran yang besar kepada pemenangnya. Dalam kategori persembahan silat, pesilat yang menunjukkan persembahan yang dianggap membahayakan telah dikumpulkan setempat dan diasingkan daripada pesilat yang mempersembahkan silat pulut yang diiringi oleh bunyi-bunyian seperti gendang. Pesilat-pesilat yang membawakan silat yang berbahaya ini telah ditangkap secara sulit lalu dirantai dan dibawa ke tengah laut dengan perahu untuk dibunuh, kerana pemerintah Portugis bimbang bahawa mereka boleh mengancam kedudukan Portugis di bumi Melaka. Ketika berada di tengah laut, dengan izin Allah dan berkat ilmu Silat Seni Gayong, rantai yang mengikat hulubalang-hulubalang Melaka itu telah berjaya diputuskan, dan hulubalang-hulubalang Melaka ini telah melawan dan berjaya menumpaskan pengawal-pengawal Portugis yang mengawal mereka. Kerana bimbangkan keselamatan mereka selepas daripada peristiwa itu, hulubalang-hulubalang Melaka ini telah mengambil keputusan untuk belayar ke merata-rata gugusan kepulauan Melayu untuk mencari perlindungan. Sesetengah daripada hulubalang Melaka ini telah mendarat di Makasar lalu menetap di situ. Di Makasar ini, ilmu Silat Seni Gayong telah berkembang dengan meluas, terutamanya di kalangan bangsawan Bugis. Orang-orang Bugis inilah yang bertanggungjawab menghidupkan semula kesenian lama ini di Tanah Melayu.
Ada suatu riwayat yang masyhur berkenaan tujuh orang anak raja tanah Bugis yang sangat-sangat ditakuti dan dihormati di seluruh Makasar, Riau, Siak dan juga pulau-pulau yang berhampiran, kerana kegagahan dan keperkasaan mereka yang tiada tolok bandingnya ketika itu. Mereka telah belayar meninggalkan tanah Bugis dan menjelajah ke serata kepulauan Melayu untuk mencari kawasan penempatan yang baru. Salah seorang dari putera Bugis itu ialah Almarhum Daeng Kuning atau lebih dikenali sebagai Panglima Hitam. Daeng Kuning ialah moyang kepada Dato' Meor Abdul Rahman, Mahaguru Silat Seni Gayong. Syed Zainal mempelajari ilmu Silat Seni Gayong daripada Daeng Ambok Solok, seorang pahlawan berketurunan Bugis dan mempunyai tali persaudaraan dengan Daeng Kuning.

SEJARAH MAHAGURU

sswbkecil.jpg

Seni Silat Gayong

Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd.Hashim ialah pencipta dan pengasas Silat Seni Gayong. Darah yang mengalir di dalam batang tubuh Dato' Meor Abdul Rahman adalah darah Bugis yang diwarisi dari Daing Kuning, seorang pendekar terbilang.Daing Kuning atau lebih dikenali dengan gelaran Panglima Hitam adalah salah seorang daripada tujuh beradik berasal dari Makasar yang mendarat di Tanah Melayu bagi mencari tapak penghidupan baru.
Hasil perkongsian hidup Daing Kuning dengan seorang puteri Raja Patani, beliau telah dikurniakan seorang putera dan kemudiannya dikenali dengan nama Penghulu Che' Ngah Tambah.Daing Kuning meninggal dunia pada tahun 1875 di Taiping, Perak. Penghulu Che' Ngah Tambah pula telah mendapat seorang anak lelaki yang diberi nama Uda Mohd. Hashim.
Uda Mohd.Hashim kemudiannya mendirikan rumahtangga dengan Sharifah Aluyah binti Syed Zainal Al-Attas dan dikurniakan dua orang anak lelaki, salah seorang daripadanya dinamakan Meor Abdul Rahman.Meor Abdul Rahman dilahirkan di Taiping, Perak pada 17 Ogos 1915 dan mula mempelajari persilatan ketika berusia 12 tahun, daripada datuk sebelah ibunya, iaitu Tuan Syed Zainal Al-Attas. Syed Zainal adalah seorang penghulu di Pekan, Pahang, dan ikut sama berjuang menentang campur tangan Inggeris di Pahang bersama-sama dengan Dato' Bahaman, Mat Kilau serta pembesar-pembesar Pahang yang lain.
Pada tahun 1936, Allahyarham telah digelar "Rahman Sendo" oleh almarhum Sultan Alang Iskandar, setelah menunjukkan keistimewaan dan kependekarannya di istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar,Perak. Dengan kehendak almarhum Sultan, Allahyarham telah diambil sebagai anak angkat oleh baginda sehinggalah baginda mangkat pada tahun 1938.
Pada tahun 1938, Allahyarham telah berhijrah ke Singapura dan bekerja di Royal Signal Corp, Gillman Barrack. Di sini Allahyarham turut mengajar seni tempur tangan kosong kepada tentera British.
Apabila tentera Jepun menyerang Singapura pada tahun 1941, Allahyarham bersama-sama dengan keluarganya telah menyelamatkan diri ke Pulau Sudong, sebuah pulau di selatan Singapura. Setelah melalui pelbagai dugaan, barulah beliau dan keluarganya dibenarkan menumpang di pulau tersebut.Di Pulau Sudong inilah Silat Seni Gayong mula dikembangkan, iaitu pada 17 Februari,1942. Di Pulau Sudong ini beliau telah menunjukkan kebolehannya memperdaya tentera Jepun dan seterusnya menyelamatkan penduduk Pulau Sudong daripada kekejaman tentera Jepun. Silat Seni Gayong kemudiannya diajar kepada semua penduduk Pulau Sudong.Tidak lama kemudian, beliau bersama-sama keluarganya telah pulang ke Taiping, Perak.

Pada tahun 1943, beliau telah ditangkap oleh tentera Jepun kerana menentang tentera Jepun yang cuba mengganggu isterinya. Beliau telah dipenjarakan di penjara Taiping dan setelah dibicarakan, beliau telah dijatuhi hukuman gantung. Sewaktu dibawa ke tempat penggantungan, beliau telah menunjukkan kependekarannya dengan menumpaskan tentera-tentera Jepun yang mengawalnya. Akibat daripada peristiwa ini, beliau telah dibebaskan. Tidak lama kemudian beliau telah dipaksa menyertai pasukan tentera Jepun.

Apabila Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, beliau sekali lagi telah berhijrah ke Pulau Sudong dan telah ditawarkan menjawat jawatan penghulu di situ. Setelah beliau menetap di Pulau Sudong, Silat Seni Gayong telah tersebar ke pulau-pulau sekitar termasuklah pulau-pulau di dalam wilayah Indonesia.
Pada tahun 1947, beliau telah berpindah ke pulau besar Singapura kerana ditawarkan bekerja sebagai mata-mata gelap di Jabatan Siasatan Jenayah, Singapura. Pada tahun tersebut juga beliau telah dianugerahkan pingat King George VI oleh kerajaan British kerana jasa-jasanya menentang pendudukan Jepun di Singapura. Bermula dari tahun 1948, beliau telah gigih mengembangkan Silat Seni Gayong di Singapura, dan seterusnya ke Tanah Melayu. Setelah bersara dari pasukan polis, beliau telah menubuhkan Sekolah Pusat Latihan Silat Seni Gayong di Woodlands,Singapura pada tahun 1960. Di pusat latihan inilah, gurulatih-gurulatih awal Gayong dari Semenanjung Tanah Melayu mendapatkan pelajaran silat mereka.
Pada tahun 1959, Allahyarham Dato'Meor Abdul Rahman telah bertemu dengan Dato' Onn Jaafar, pengasas UMNO dan penentang Malayan Union. Dato' Onn telah mengusulkan Silat Seni Gayong didaftarkan supaya menjadi suatu pertubuhan yang sah di sisi undang-undang. Akhirnya, dengan jasa-jasa Dato' Onn, Silat Seni Gayong telah diluluskan pendaftarannya pada 22 Oktober 1963 dengan nombor pendaftaran 361(Johor Bahru). Ia adalah pertubuhan silat yang pertama didaftarkan di Malaysia. Dato' Onn telah dilantik sebagai penasihat dan setiausaha agung yang pertama. Pendita Za'ba pula telah diminta melukis lambang Gayong dan mereka bentuk sijil Gayong. Kegigihan dan pengorbanan Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman dalam usaha mengembangkan Silat Seni Gayong telah dirakamkan dengan pengurniaan pingat Dato' Paduka Cura Simanja Kini (DPCM) oleh Sultan Idris Shah, Sultan Perak pada tahun 1971.
Dato' Meor Abdul Rahman telah kembali ke rahmatullah pada 23 Jun 1991 dalam usia 76 tahun dan telah dikebumikan di perkuburan Masjid Lama, Taiping, Perak.
Al-Fatihah ...